MSMv3 -  Earn Money With Your Social Networking Profiles :: 240x30

Sunday, January 3, 2010

"Zul Design" Kecewa Orang Cerdik Kurang Dipupuk


SEREMBAN, 22 Mei (Bernama) -- Zulkifli Haron, pencipta yang pernah menghasilkan rekaan luar biasa termasuk "kereta boleh bercakap", berasa kecewa kerana masih kurang usaha dijalankan untuk melahirkan lebih ramai golongan cerdik di negara ini.

Beliau melihat perkembangan pendidikan rekabentuk di sekolah-sekolah tempatan masih statik malah masih ramai guru dan pelajar yang menganggap bidang itu hanya untuk mengisi masa lapang dan tidak mampu menjana pendapatan.

"Sampai sekarang kita hanya ada Zul Design dan tidak melihat Ahmad Design atau Salleh Design. Persoalannya ke mana pelajar kreatif kita pergi selepas tamat sekolah," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Zul Design merupakan syarikat pertama beliau yang berpangkalan di Rawang sejak 25 tahun lepas dan telah berjaya melahirkan ribuan ciptaan seperti mesin automatik membuat kuih sehinggalah kepada kereta untuk Orang Kurang Upaya.

Zulkifli melihat kegagalan negara dalam melahirkan perekacipta dalam bidang kejuruteraan disebabkan pelajar kreatif ini tidak dipupuk selepas mereka menamatkan pengajian.

"Mereka ini kebanyakannya tidak pandai dalam soal akademik dan gagal masuk universiti. Di universiti pula, kita banyak melahirkan jurutera yang pandai dalam akademik dan cemerlang dalam peperiksaan tetapi tidak mampu melahirkan ciptaan," katanya.

Zulkifli berkata syarikatnya mengambil ramai golongan kreatif untuk melahirkan ciptaan mereka tetapi, menurut beliau, itu belum mencukupi kerana matlamatnya ialah agar kerajaan dapat membuka mata untuk meletakkan golongan istimewa ini ke satu tempat khas supaya mereka dapat membantu melahirkan pelbagai teknologi dan ciptaan baru.

"Hari ini kita sudah ada pelbagai macam pertandingan rekacipta, itu pun masih kekurangan sokongan kerana banyak ciptaan tidak dimaju atau dikomersilkan," katanya.

-- BERNAMA